Minggu ini adalah hari2 yg sibuk utk sy..so entri kali ni cuma 'copy' n 'paste' shj..utk bacaan umum...dan mereka2 ini adalah inspirasi sy utk berubah n berhijrah spt mereka..mmg x mudah krn dunia ini sentiasa melalaikan..namun sy percaya n yakin ALLAH sangat mengenali saya..
Petikan surah Almaidah (ayat 39 & 40)
"Tetapi siapa yang bertaubat setelah melakukan kejahatan itu dan MEMPERBAIKI DIRI. maka sesungguhnya ALLAH menerima taubatnya. Sungguh ALLAH Maha Pengampun , Maha Penyayang".
WARDINA SAFIYYAH
Mengakui yang akhlak dirinya dahulu adalah umpama Britney Spears, Wardina meminta sahabat artis yang tidak bersetuju dengan tanggapannya agar tidak cuba menafikan sesuatu yang menjadi realiti sebenar kehidupan kelompok itu.
"Tak payah nak menegakkan benang yang basah, kerana saya tahu macam mana keadaannya dalam dunia artis itu. Jadi pada saya tak payahlah nak jadikan artis-artis ini idola anda semua, tak payah, tak payah.
"Nak ambil yang ciri-ciri positif sahaja boleh, tapi tak perlulah nak dijadikan idola," katanya kepada hadirin dan pengunjung pusat beli belah yang sebahagian besarnya terdiri daripada para remaja.
Wardina berkata dia bukan mahu mendabik dirinya sebagai yang terbaik tetapi dia sentiasa mendoakan kebaikan untuk dirinya kerana dia adalah contoh dan idola untuk anak-anaknya sendiri. Katanya, apa yang merisaukan dirinya tentang kehidupan artis di Malaysia hari ini adalah apabila ada di kalangan mereka yang sering mengeluarkan kenyataan bodoh mengenai agama tetapi tiada yang menegur.
"Saya takut bila perkara salah yang artis lalukan tidak menjadi salah lagi, perkara yang salah tidak ditegur para ustaz dan ulama, artis-artis jahil dan mengeluarkan kenyataan bodoh mengenai agama. Tetapi tidak ada orang tegur, artis berbaju separuh bogel tidak ada orang tegur dan hiburan terlalu banyak dan melalaikan. Ini yang saya risau sebenarnya," katanya.
Program anjuran kerajaan negeri Kelantan itu telah mengupas tajuk Selebriti Sebagai Ikon Masyarakat dan turut mengundang novelis terkenal Indonesia, Habiburrahman el-Shirazy dan personaliti TV9, Farrah Adeeba Mohd. Ashraf sebagai ahli panel dengan dipengerusikan oleh pakar motivasi, Amin Idris. Wardina berkata dia mula tersedar akan khilaf yang dilakukan dahulu apabila ditinggalkan bekas teman lelakinya yang mahu layanan lebih daripada seorang kawan.
Kata wanita ini, walaupun ketika itu kehidupannya agak bebas tetapi dia sentiasa mengingati pesan ibu bahawa seorang perempuan hanya boleh 'disentuh' oleh suami sendiri.
"Satu hari selepas boyfriend saya tinggalkan saya, saya terkapai-kapai. Dia kata sayang saya tetapi saya ditinggalkan, saya tanya diri sendiri, apa saya nak buat ni? Saya ni nak jadi apa? Saya tak tahu saya nak jadi apa, saya tak tahu.
"Setiap hari makan bangun tidur, malam pergi kelab malam, enjoy, balik rumah, itukah tujuan hidup kita? Saya terdiam dan saya cakap dekat mak saya mahu menunaikan umrah.
"Saya pergi Makkah dengan niat, Ya Allah, tolonglah bagi saya hidayah Ya Allah, saya amat memerlukan kasih daripada Allah, kalau Allah tidak sayang saya, tidak ada gunanya saya hidup.
"Orang lain tidak sayang saya, orang lain tidak suka saya, saya tidak kisah, tapi kalau Allah tidak sayang saya, saya tidak boleh hidup," katanya.
Ketika berada di Tanah Suci Mekah, Wardina berkata, dia terpaksa membawa buku panduan solat dan bacaan doa kerana sudah lupa cara menunaikan ibadat akibat kehidupan sebelum ini. Katanya, perubahan itu juga berlaku kerana dia berusaha mencari ilmu dan kawan yang baik yang boleh membimbingnya ke arah kebaikan.
"Selepas saya bertudung ramai yang berkata saya tidak akan menjadi popular lagi dan tidak ada yang akan mengambil saya berlakon lagi.
"Tetapi apa yang terjadi? Iklan syampu pertama di dunia yang menampilkan wanita bertudung adalah iklan saya, pertama dalam dunia.
''Kemudian iklan itu dibawa ke luar negara, sebab apa? Iklan syampu itu selepas ia dikeluarkan, jualannya berkali-kali ganda. Terkejut semua orang," ujarnya.
FARRA
Tidak mahu memandang ke belakang dan meratap segala kisah duka yang telah berlaku, Farra menganggap penceraiannya itu adalah salah satu ujian Allah SWT yang harus dihadapinya.
Hidupnya kini lebih bermakna dengan menghabiskan masa bersama anak angkat kesayangannya yang baru berusia setahun, Muhammad Affif Zikry, serta mencari rezeki untuk mereka berdua.
Berdakwah
Tidak seperti para selebriti lain yang akan bergiat aktif dalam kerjaya seni semula selepas penceraian, Farra lebih selesa jika karier seni nyanyian diabadikan sebagai kenangan sahaja.
Apa yang diinginkan, Farra mahu berdakwah dan menyebarkan ilmu pendidikan menerusi bidang seni.
"Cukuplah, dulu saya dah puas menyanyi. Kembalinya saya hari ini tidak bermaksud yang saya akan bergiat aktif menyanyi seperti dahulu. Rasanya, 'kembali' bukanlah satu perkataan yang sesuai.
"Kiranya, jika dulu saya seorang penyanyi. Kini saya lebih pada genre yang lain, yang mana saya menjadi lebih kepada seorang Muslimah. Justeru, saya ingin mengendalikan sebuah program bual bicara berunsurkan pendidikan.
"Dengan imej ini, rasa macam tak sesuai pula. Ya, dulu (saya) menari sakan, tiba-tiba nak menyanyi dengan imej begini. Lainlah kalau dulu saya penyanyi nasyid, bolehlah saya kembali dengan gaya seorang penyanyi nasyid.
"Lagipun, sebagai seorang Muslimah, ia (menyanyi) adalah perkara yang tidak patut dilakukan. Namun sekarang ini, saya bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pengacara berdasarkan program yang sesuai seperti program kanak-kanak atau yang lebih Islamik," ujarnya dalam senyuman sambil membetulkan selendang hitamnya.
Tambah Farra, inilah masanya untuknya memberi dan berkongsi ilmu dengan peminat-peminatnya yang pernah menyokongnya ketika dia berada di puncak populariti dahulu.
Selain ingin bergiat aktif dalam pengacaraan, Farra juga terbabit sebagai model sambilan bagi jenama busana Sumayyah.
Dalam pada itu, setiap pagi, Farra akan membabitkan diri dalam mengajar kanak-kanak berumur bawah empat tahun melalui program Alim Kids Playgroup.
Walaupun perasaan rindu terhadap bidang nyanyian masih lagi wujud dalam jiwanya, Farra langsung tidak menyanyi lagi sejak berubah imej walaupun sekadar suka-suka di rumah.
Bagaimanapun, dia akan menyanyi lagu-lagu kanak-kanak dalam program Alim Kids Playgroup ketika mengajar kanak-kanak di bawah bimbingannya.
Tidak goyah
Melihatkan imej terbaru Farra, pasti masih lagi ada yang terkejut dengan imejnya yang telah pun berubah sejak tahun 2003.
Transformasi yang dilakukannya tiada paksaan sebaliknya ia datang dari hati nuraninya sendiri yang ketika itu masih bergelar isteri kepada bekas suaminya, Mohd. Shahrul Azni.
Ilmu demi ilmu yang dipelajari Farra bersama bekas suaminya, Mohd. Shahrul Azni tentang Islam dan bila masing-masing jelas dengan apa yang diinginkan, Farra nekad untuk mengubah diri kepada seorang wanita Muslimah.
"Mula-mula dulu saya persoalkan, kenapa perlu pakai tudung? Kemudian saya cari sebab-sebabnya dengan membaca al-Quran. Bila faham perkara yang boleh dan tidak boleh sebagai seorang Islam, saya tidak goyah. Malah, lebih jelas lagi untuk menuju ke jalan yang diredhai Allah.
"Kemudian barulah saya faham, kita harus patuh dengan suruhan Allah. Dalam pada itu, saya juga mendalami ilmu-ilmu Islam yang pernah saya abaikan dahulu. Barulah saya berniat yang saya perlu berhenti melakukan perkara yang pernah dilakukannya sebelum ini dan berubah kepada seorang wanita Muslim yang sebenar," ujarnya.
Ketentuan
Ditanya pula adakah Farra menyesal dengan kehidupan yang lepas, katanya: "Setiap perkara yang kita lakukan yang mana kita tidak mentaati perintah Allah, sesungguhnya ia adalah satu penyesalan.
"Bagaimanapun, apa yang telah berlaku itu adalah suatu ketentuan dan kita perlu berdepan dengan keampunan. Saya percaya hidup kita mempunyai fasa. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah memberikan hidayah," tegasnya .
sumber : kosmo online
AZMIL MUSTAPHA
Penampilan terakhirnya adalah sebagai Pengiran Demak dalam filem ‘Puteri Gunung Ledang’; watak yang diilakonkan setelah syarat-syaratnya yang ketat diterima penerbit. Duda (mempunyai seorang anak dengan bekas isteri pertama dan empat dengan isteri kedua) dari Shah Alam, Selangor ini telah musafir ke Syria sejak setahun lalu untuk mempelajari bahasa Arab dan ilmu agama.
Wartawan Global Media Channel (GMC) berkesempatan menemuramah Azmil di Kota Bharu (beliau kembali ke Malaysia sempena cuti semester pengajiannya) yang hadir memenuhi undangan untuk menyampaikan ceramah kesedaran Islam anjuran PAS Kawasan Ketereh baru-baru ini.
Kenapa saudara memilih untuk ke Syria?
Saya buat solat hajat, minta dengan Allah, saya nak cari tempat belajar, Allah berikan petunjuk belajar di Syria. Dengan duit yang saya dapat dari menyampaikan ceramah-ceramah kesedaran Islam sebelum itu di Malaysia, saya terbang ke Syria dengan anak-anak saya.
Saya belajar Bahasa Arab di Maahad Taalim Lughatal Arabiah Lil Ajnabi (Institut Pengajian Bahasa Arab Bagi Orang Asing).Kalau saya terus masuk kelas (pengajian agama) anjuran syeikh-syeikh pun saya tak reti Bahasa Arab. Jadi saya belajar Bahasa Arab dahulu. Sementara itu saya belajar Al-Quran, tajwid dan tasmi’ dengan syeikh-syeikh. Saya juga belajar dengan pelajar-pelajar Malaysia yang ada di Syria.
Sejak bila sebenarnya saudara ke sana?
Sudah setahun. Saya pergi redah sahaja. Tak ada buat rancangan. Dengan empat orang anak saya turut bersama (tiga perempuan dan seorang lelaki). Yang sulung kemudiannya balik untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini. Jadi kekallah tiga orang yang tinggal bersama saya di sana. Anak saya Noramalia Batrisya ,15, dan Mohd. Bazli Shafri, 13, belajar di Jami’ Abu Nur, sebuah kolej Islam antara yang termasyhur di Syria. Yang kecil baru masuk umur tujuh tahun dan belajar di darjah satu. Enam bulan pertama mereka dimasukkan dalam kelas bahasa Arab. Tidak ada masalah untuk mereka mengikuti pengajian dan sekarang sudah fasih berbahasa Arab. Saya amat puas hati dengan perkembangan mereka.
Puas hati macam mana?
Dengan perubahan perwatakan. Di Malaysia, dekat Shah Alam tempat kami tinggal dahulu banyak pengaruh yang tidak sihat. Cara hidup moden . Tapi di sana mereka mengaji Quran tiap-tiap hari, solat tidak tinggal dan pergaulan dijaga. Malah mereka sempat menasihati kakak yang pulang ke Malaysia “jangan tengok lelaki” bukan berkawan, tengok pun mereka tak bagi.
Di sana pergaulan antara lelaki dan perempuan amat dibatasi. Kita payah nak lihat pergaulan secara bebas berlaku. Duduk satu meja pun tak ada. Kalau di Yaman, negeri yang berjiran dengan Syria, dalam bas kalau hanya ada seorang wanita yang menjadi penumpang , yang lelaki tidak akan naik dan sanggup tunggu bas yang lain datang untuk dinaiki. Bimbang timbul fitnah walaupun hanya sebagai penumpang. Masing-masing sangat prihatin untuk menjaga perkara ini.
Antara perubahan yang ketara saya dapat lihat adalah pada anak perempuan saya, Noramaliya. Dia sebenarnya pelajar yang lemah. Semasa bersekolah di Malaysia, biasanya dia mendapat kedudukan 35 ke bawah. Dulu tinggal di Shah Alam, dia selalu ponteng sekolah. Tengok wayang di KLCC. Pergi ke sekolah tapi dalam beg ada pakaian lain untuk ditukar. Itu dah memang menjadi tabiat pelajar sekolah di Malaysia. Sampai di Syria, dia jadi pelajar yang terbaik. Padahal dalam kelas ada pelajar-pelajar luar negara yang lain seperti dari England, Afrika Selatan, Kazakhstan , China dan lain-lain. Dia yang muncul pelajar terbaik
Bagaimana saudara menyara kehidupan di Syria?
Tidak ada pendapatan tetap tapi saya sangat bernasib baik kerana mendapat bantuan. Saya diberi tempat tinggal percuma oleh seorang Syeikh di sebuah apartmen di pinggir Damsyik. Saya akui duit pun tak banyak tapi diam tak diam sudah sampai setahun saya di sana dan tidak timbul sebarang masalah besar. Kita kena yakin rezeki itu datang daripada Allah. Ada saja duit yang masuk. Sentiasa ada bantuan diterima kerana saya dan anak-anak dikira orang yang sedang menuntut ilmu.
Malah ia sampai ke tahap saya kadang kala terpaksa buang makanan yang diberi oleh jiran kerana terlampau banyak. Dan di sana kita yang pergi belajar dengan Syeikh ini bukan kita yang membayar Syeikh tapi mereka pula yang memberi duit pada kita. Perkara ini sudah jadi kebiasaan orang Syria . Jika tidak pun, dia akan beri kita roti setiap kali pergi belajar. Pergi solat Jumaat pun dapat duit. Budaya memberi amat dititikberatkan. Paling kurang, yang dewasa akan menyediakan gula-gula dalam poket untuk diberi kepada kanak-kanak.
Saya juga terkejut kerana kadang-kadang menerima sumbangan yang nilainya mencecah RM1000. Kalau yang kaya lebih lagilah mereka sumbangkan. Anak kepada Syeikh yang menyediakan rumah percuma untuk saya pernah menyumbang jutaan ringgit kepada fakir miskin dalam bulan Ramadhan. Kenapa saudara fikir perubahan-perubahan positif sama ada kepada anak atau saudara sendiri boleh berlaku? Adakah perbezaan antara Syria dan Malaysia ini begitu ketara sekali sedangkan kedua-duanya adalah bumi orang Islam?
Bumi Syria ini ada kelebihan. Saya daripada kecil sampai besar memang belajar di sekolah yang tidak berasaskan kepada Islam. Saya menuntut di dua buah sekolah mubaligh Kristian iaitu La Salle Institution dan St John Institution. Dari situ saya menyambung pula pelajaran ke Indiana University di Amerika. Daripada kecil sehingga dewasa, saya tidak pernah belajar dan khatam al-Quran.
(Di Amerika , Azmil belajar dengan pengkhususan dalam penerbitan televisyen, radio dan filem. Beliau hanya tinggal tiga lagi jam kredit untuk dihabiskan sebelum dihantar pulang ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Amerika. Tindakan itu diambil ketika Amerika membuat penapisan orang-orang Islam dari negara luar berikutan kemenangan kumpulan Islam (Syiah) menjatuhkan kerajaan beraja Shah Mohammad Reza Pahlavi. Azmil dikesan bekerja sambilan walaupun syarat hanya membenarkan pelajar luar yang mempunyai 12 kredit atau lebih sahaja untuk berbuat demikian. Ayahnya Dato’
Mustapha Kamil Yassin, bekas pensyarah di Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia tidak mahu Azmil mengambil biasiswa kerana kedudukannya sebagai kakitangan kerajaan gred A. Mula-mula saya berubah dulu nak baca surah al- Fatihah pun tak boleh. Kena baca mengikut tulisan rumi. Nak sembahyang semua ayat kena ditulis ke huruf rumi. Tak pernah dapat hafal. Sehinggalah apabila saya ke Syria.
Di sana, anak-anak saya belajar Al-Quran dengan seorang syeikhah (ustazah) di rumahnya. Selepas sebulan syeikhah tersebut datang melawat ke rumah. Dia mahu melihat keadaan keluarga macam mana. Bila datang dia meminta saya mengajar anak-anak. Dia suruh saya baca satu surah. Bila “check” ayah baca pun tak betul, dia pun minta anak muridnya yang lain tolong ajarkan anak-anak saya.
Tapi alhamdulillah berkat mengaji tiap-tiap pagi, kini saya sudah boleh menghafal satu, dua muka surat dengan senang. Ini memang saya pelik. Saya rasa ini memang kesan tinggal di bumi Syam (Syria), bumi para anbiya’.
Dahulu negara ini tertutup. Sebab ia mengikut pengaruh Rusia. Jadi negara lain menyisihkannya. Apabila Syria disisihkan, ia sebenarnya terselamat. Macam di Malaysia, apabila dibuat dasar terbuka, semua pengaruh dapat masuk, ia merosakkan kita. Budak-budak sekarang budaya sendiri pun tak kenal . Dan dia tak mahu ikut. Dia lebih seronok ikut budaya asing, budaya Barat. Budaya ini di Melayukan dengan bahasa. Tapi isinya tetap dari pengaruh yang menyimpang dari ajaran Islam.
Adakah kerana saudara bimbangkan keadaan begini sehingga sanggup membawa anak-anak jauh dari Malaysia?
Sebab benda inilah saya bawa anak-anak keluar. Bila saya bawa anak-anak keluar, ada kawan-kawan yang tegur saya ” Jadi anak kamu ini tidak ada SPM. Macam mana nak cari kerja?”
Saya jawab balik, “Rezeki itu kerana Allah bukan kerana SPM”. Orang ada SPM pun berlambak tak ada kerja. Ada ijazah UM pun tak ada kerja. Ada Master USM pun tak kerja. Kita kena ingat rezeki itu dari Allah.
Sekarang anak-anak saya sudah hafal Juzuk Amma. Saya percaya dalam tiga empat tahun lagi, Insya Allah satu Quran tu dpat habis dihafal. Itu lebih berharga. Kalau dia jadi arkitek atau jurutera tapi Quran pun tak tahu buat apa. Macam saya dulu jadi pengarah filem tapi Quran pun tak tahu, buat apa?
Memberi pendidikan Islam pada anak-anak sehingga sampai berhijrah ke Syria. Orang lain mungkin tak berpeluang berbuat demikian macam saudara.?
Saya rasa kalau kita ajar anak kita cara Islam tak ada kekurangannya bagi saya. Malahan Allah mungkin akan mecurahkan kemudahan kepadanya. Sekarang kita kongsi raya, kita kongsi hukum, kongsi taraf atau standard Islam dengan yang lain. Kita membandingkan ajaran Islam dengan yang Barat.
Kalau tak seperti Barat, kita anggap standard kurang. Kita campur aduk hukum Allah dengan hukum kafir. Inilah yang saya nampak masalah kita pada hari ini. Ini pun nak berlaku di Syria pada hari ini. Kalau di negara kita lama dah dijajah 500 tahun dahulu dan kita masih ‘terjajah’. Syria ini dia baru terbuka tak sampai 10 tahun. Jadi generasi dia sekarang dia baru rosak.
Kalau kita di Malaysia, kerosakan bermula sejak dari generasi bapa kita dahulu. Mareka agungkan England dan Amerika.
Tetapi bagi saya , kalau orang Syria nak ikut barat pun, agaknya kena juga dengan fizikal mereka itu. Tapi kita Melayu pun nak mata warna biru, rambut warna perang. Tak kenalah. Nampak janggal sangat kalau yang Melayu nak tiru.
Bagaimana kita hendak menghadapi perubahan budaya sebegitu ?
Di Syria, guru-guru yang pegangannya kuat masih bertahan. Kita di Malaysia, lebih banyak yang kebaratan daripada Islam. Kita di sini mereka yang nak kepada Islam sedikit, yang nak kepada barat banyak.
Dari sekolah itu yang diajar. Supaya kita bersedia dengan pengaruh dan sistem barat. Sekolah-sekolah kita, tamat persekolahan kita berpeluang belajar sampai ke universiti di Amerika, di England. Tetapi kalau kita keluar dari pondok atau sekolah agama, peluang sambung belajar itu tidak seberapa.
Apa yang kita lakukan adalah untuk menyesuaikan diri kepada budaya barat.
Dan ini kita tak sedar. Kita seolah-olah nak menyediakan diri masuk ke institusi dan sistem yang kerap kalinya meruntuhkan jati diri Islam..
Dan yang peliknya, orang tidak bimbang kalau yang keluar tingkatan enam sekolah biasa tak boleh baca Alif Ba Ta. Nak masuk sekolah tahfiz pun payah sebab tak kenal huruf walaupun tamat tingkatan enam. Benda ni dah berlaku sejak zaman dulu lagi dan kita tidak sedar.
Saya cakap kepada seorang sahabat di Syria kenapa kamu ghairah nak buka peluang kepada barat. Saya dah tengok keadaan di negara saya apa yang berlaku. Dia kata mereka pun nak moden. Moden apa? Moden nak tengok anak-anak terbuang di tong sampah. Moden nak tengok anak-anak mati sia-sia kerana terlibat denbgan lumba haram. Itu moden buat apa. Pembangunan sedemikian yang membangun hanya bangunan dan jalan raya. Akhlak runtuh.
Akhlak diruntuhkan kerana nak mencantikkan bangunan dan jalan. Sebab itu fikirlah, kerana tak ke mana kita dengan pembangunan sebegitu.
Kenapa remaja dan kita sendiri sebenarnya cenderung untuk meminati budaya hiburan?
Sebab memang sudah disediakan sejak daripada dulu. Pendidikan dan cara hidup disediakan untuk membolehkan anak-anak bersedia menerima sistem yang menyimpang dari bukan untuk menjadi hafiz atau ulama’. Penyediaan dilakukan untuk membawa masyarakat ke arah keseronokan.
Kalau kita tengok babak dalam filem Melayu, babak minum arak , berdansa, sejak dari zaman P Ramlee sudah ada.
Sejak sekolah lagi , anak-anak dibiasakan dengan budaya Barat. Ada sukan gimnastik sampai terkangkang anak-anak diajar guru; sukan renang, jadi separuh bogel. Kita disediakan untuk menerima budaya barat. Mana kita amalkan hukum syariah ? Itu masalah kita.
Pada pandangan saudara, masalah keruntuhan akhlak ini bagaimana nak diselesaikan?
Sekarang kita taat pada hukum yang tidak berpaksikan Islam. Undang-undang yang dimulakan oleh British dahulu. Cuba kita gunakan hukum syariah, saya percaya gejala sosial yang teruk dalam negara dapat dikurangkan sebab kita menyediakan masyarakat untuk ke akhirat. Sekarang kalau membabitkan hukum Allah, ia dikira hak persendirian. Anda hendak buat atau tidak, itu pilihan anda sendiri. Tapi mereka (kerajaan) tak galakkan pun. Itulah masalah sekarang.
Bagaimana kita nak menyedarkan masyarakat?
Islam ini mesti dijalankan bermasyarakat. Tapi tanggungjawab itu tetap pada diri sendiri. Kita sendiri mesti mulakan dahulu . Contohnya kita dilatih berpuasa sama ada di dalam atau dil luar rumah. Walau di mana pun kita tahu Allah melihat.
Sebab itu kita kena buat pilihan. Dua sahaja pilihan kita. Sama ada ikut jalan Allah atau ikut syaitan. Tidak ada jalan tengah. Tidak ada kompromi. Setiap benda yang berlaku dalam masyarakat dunia hari ini kita kena buat pilihan antara yang benar dengan yang tidak. Gunakan akal.
Islam ini agama untuk yang tahu berfikir. Bukan taat buta tuli. Kalau kita gunakan akal fikiran baru kita sedar. Kita kena fikir tentang keesaan Allah. Ini yang kita kena ajar anak-anak. Sekarang apa yang diajar kena cari duit banyak-banyak. Bila ikut cara Islam barulah ada keberkatan.
Berbalik kepada dunia hiburan, adakah tidak ada ruang sebenarnya untuk ia menjadi lebih baik?
Boleh kalau industri kita industri yang beriman. Tapi industri kita meniru Bollywood, Hollywood, Hong Kong dan lain-lain. Kita menuju ke arah keruntuhan. Ini yang bahayanya.
Nasihat kepada rakan artis
Pendek sahaja ; Allah melihat apa yang kamu buat.
Wallahualam.....
INNEKE KOESHERAWATI
PADA zaman kegemilangannya, pelakon kelahiran Jakarta ini pernah dilabelkan sebagai simbol seks kerana keberaniannya beraksi ‘panas’ selain sempat berbogel dalam beberapa filem dan sinetron lakonannya seperti Ranjang Yang Ternoda atau Gadis Metropolis juga Wanita Dan Ghairah.
Memiliki sosok tubuh yang menggiurkan selain kerap berimej seksi, isteri kepada Fahmi Darmawansyah ini bagaimanapun mengejutkan banyak pihak selepas drastik merubah kiblat kehidupannya dengan bertudung.
“Semua orang miliki kisah lalu dan saya kira tidak adil jika kita mengungkitnya untuk dijadikan ukuran,” katanya pada satu temu bual mengenai zaman jahiliahnya.
Dia kemudian memberitahu kehidupannya kini lebih tenang. Bertudung dan berubah menjadi manusia yang cuba sedaya upaya menjalankan tanggungjawab sebagai umat Islam yang baik sekembali dari umrah lebih 10 tahun lalu telah membuka hatinya bahawa Tuhan begitu menyayanginya.
Selain kerap didatangi mimpi tentang kematian dan takut kepada azab Tuhan, hatinya terus layu untuk menutup aurat.
“Kini saya banyak berpuasa dan solat untuk mengganti semula semua kewajipan yang saya tinggalkan satu ketika dahulu. Syukur kepada Tuhan kerana memberi kesempatan buat saya berubah,” katanya yang cukup terkenal menerusi sinetron berunsur dakwah, Mutiara Hati sambil menyifatkan pembabitannya dalam dunia hiburan kini lebih kepada menyebarkan dakwah.
Siapa: Inneke Koesherawati @ Inneke, 33. Transisi: Mula bertudung pada tahun 2001. Kini: Pelakon & Duta Astro Oasis Indonesia
AKHIL HAYY
“PLANET saya dulu, nauzubillah. Disko, perempuan dan ya, semua jenis maksiat seperti itu berlarutan selama enam tahun. Rocklah katakan. Semoga Tuhan mengampunkan dosa saya,” akui Ustaz Akhil Hayy yang dulu hidup berpaksikan gelombang rock seperti kumpulan Poison dan Loudness tanpa selindung sambil memohon ampun beberapa kali.
Namun, segala kemungkaran itu sudah tidak lagi melingkarinya selepas lelah menanti hasil menjadi anak seni yang tidak ke mana selain kerap bermimpi soal kematian. Dan harapan bekas vokalis kumpulan rock terkenal tahun 80-an, D’Riyadh ini, semoga Tuhan tidak mencabut imannya sehingga akhir hayat.
Pada usia 39 tahun, dia yang sudah dua kali menunaikan haji berasa masih baru menjalani transformasi kehidupannya. Baru masuk usia 14 tahun, katanya yang mula mendekatkan diri kepada Tuhan selepas membawa diri ke Indonesia. Itu semua berkat pujukan arwah ayah, Haji Abdul Hai, sekitar tahun 1994 yang banyak membimbing dirinya daripada terus hanyut bersama syaitan.
Akil yang pernah digelar jalang jantan kerana dunia maksiatnya dahulu, tidak sukar untuk kembali ke sisi Tuhan yang telah melimpahkan sinar baru dalam kehidupannya. Apatah lagi dipermudahkan keluarga yang tidak putus memberi sokongan.
Akhil mendalami ilmu agama di Madrasah Al Mustaufiwiyyah di Sumatera Barat pada usia mencecah 26 tahun. Di situ, dia ‘mencuci diri’, kembali mengaji dan akhirnya selepas kerap berulang alik dari Malaysia ke madrasah ini untuk tujuan tersebut, akui Akhil, akhirnya dia berjaya menimba ilmu akhirat.
“Alhamdulillah, hari ini, saya dapat berkongsi ilmu saya bersama orang ramai melalui dakwah saya. Dan biar sudah menukar paksi kehidupan, saya masih mendengar muzik rock dan melepak dengan remaja yang menjadikan rock sebagai paksi hidup mereka.
“Saya nak tahu apa yang mereka cari dalam kehidupan,” ujarnya yang berkata penghijrahan bukan satu transformasi yang boleh dibuat-buat.
Katanya yang bakal muncul dengan album Nasyid Legenda 11 sambil memanjatkan syukur: “Tiada jalan pintas untuk berhijrah. Sebaliknya inilah senjata Allah kepada sesiapa sahaja yang mahu Dia berikan. Senjata itu adalah taufik dan hidayah. Dan gunalah ia sebaik mungkin kerana ia tidak akan berlaku dua kali.”
Siapa: Akhil Hayy @ Ustaz Akhil, 39. Transisi: Bekas vokalis D’ Riyadh ini mula ‘beralih arah’ pada tahun 1994. Kini: Pendakwah, penyanyi dan pengemudi program sendiri di Astro Oasis, Kafe Akhil.
petikan dari myselebriti.com (sumber kosmo)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan