silaturrahim kita

Memaparkan catatan dengan label Amalan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Amalan. Papar semua catatan

10 Februari 2011

Doakan Anak Setiap Hari


Doakan anak setiap hari
Oleh Siti Zarinah Sahib
myMetro: Hati


"ANAK saya degil, tak mahu dengar cakap!"

"Anak saya malas belajar setiap kali peperiksaan dan ujian di sekolah dia selalu dapat nombor corot!"

"Anak saya malas solat, kalau tak suruh, dia tidak akan buat!"

Sebagai ibu bapa, pasti ada yang pernah mengeluh sebegini. Perkara ini memang biasa terjadi, lebih-lebih lagi sekiranya anak anda sudah boleh bercakap, berfikir dan menilai (walaupun penilaian berdasarkan tahap peringkat umur mereka saja).

Kanak-kanak dalam lingkungan umur dua hingga tujuh tahun memang sering dilabelkan lasak kerana ingin mencuba apa sahaja yang dilihat dan mereka juga didapati 'tidak dengar kata'.


Apa yang berlaku adalah ketiadaan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak. Di samping itu, kanak-kanak sebenarnya tidak dapat mendengar arahan dengan baik kerana tidak memberikan perhatian kepada suara ibu bapa.
Sebaliknya, perhatian mereka hanya tertumpu kepada permainan mereka dan alam sekeliling yang ingin diterokai.

Justeru, sekiranya anak anda degil, sering memberontak, membaling barang dan memusnahkan permainan, siapakah yang bersalah?

Sudah tentu orang dewasa kerana tidak berusaha untuk memahami kehendak si anak. Berikut ada beberapa panduan yang boleh digunakan bagi menangani anak sebegini.

- Cuba fahami bahasa anak anda dengan bertanya secara lembut kepadanya. Sebaiknya tinggalkan sebentar apa yang anda lakukan sama ada sedang memasak atau membasuh baju dan berikan perhatian kepada anak.

Selalunya ibu bapa bercakap sambil lewa saja tetapi sebaiknya, pandang muka dan tatap matanya dengan penuh kasih sayang.

Berapa kali dalam sehari kita bertentang mata dengan anak? Perhubungan mata sangat penting dalam apa jua jenis komunikasi walaupun dengan anak kecil. Ingatlah, kanak-kanak sangat memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa.

- Sebaik sahaja anda pulang bekerja dan mengambil anak dari pusat jagaan kanak-kanak, luangkan masa setengah jam terlebih dahulu bersama anak. Jangan terus ke dapur untuk memasak atau mengangkat kain di ampaian.

Berikan perhatian pertama kepada anak. Tanyakan dengan lembut dan mesra apa yang dibuatnya seharian di rumah bersama pembantu rumah atau di tadika. Dukung dan peluklah dia serta nyatakan di telinganya yang anda sangat sayangkannya.

Bermain-main dengannya kira-kira setengah jam, barulah anda minta diri untuk ke dapur. Mudah-mudahan dia akan lebih mendengar kata kerana perhatian yang diharapkannya sudah diperoleh.

- Ajarkan anak dengan perkataan "tunggu sebentar boleh" sekiranya anak perlukan sesuatu dan anda tidak dapat melakukannya kerana sedang sibuk di dapur.

Layan dia sebaik sahaja berkesempatan. Jangan buat tidak tahu sahaja atau bersikap acuh tidak acuh kerana sebenarnya anda sedang mengajar anak agar tidak menghiraukan orang tua. Kita tidak boleh mengharap dia patuh setiap arahan kita kerana Allah tidak menjadikan dia demikian.

Ingatlah, anak belajar dengan meniru setiap perbuatan kita. Buktinya boleh dilihat apabila dia melayani adiknya pula.

- Cuba fahami personaliti anak anda. Setiap anak dikurniakan Allah dengan personaliti tersendiri. Anak yang suka menjerit walaupun tidak mempunyai apa-apa sebab boleh dikategorikan sebagai inginkan perhatian.

Oleh itu, jika anak ini menjerit, berilah perhatian kepadanya seperti memandang ke arahnya atau bertepuk tangan jika dia menyanyi. Bagaimanapun, anda boleh mengajarkan kepadanya bahawa perbuatan suka menjerit tidak bagus kerana boleh mengganggu adik kecil yang sedang tidur.

Sekiranya anak suka menjerit, anda boleh meminta dia menjerit di dinding berulang kali sehingga dia letih. Mungkin dia akan berhenti menjerit atau membuat perangai beberapa hari.

Sekiranya dia mengulanginya semula, anda suruh dia lakukan perkara yang sama sehingga dia berhenti. Berikan dia hadiah sekiranya anda dapati dia tidak menjerit atau semakin kurang menjerit dalam sehari. Katakan padanya, "Mama berikan hadiah coklat kerana kakak tidak menjerit hari ini." Dengan ini, anak akan faham bahawa ibu bapa tidak menyukai perbuatan itu.

- Sentiasa ingatkan diri anda mengenai sifat positif anak yang keletah dan kerenah anak yang menghiburkan.

Tumpukan perhatian anda kepada kelebihan itu. Jangan mengingati kekurangan anak dan doakan setiap kali selesai sembahyang. Bayangkan anak dengan semua sifat positif yang anda inginkan setiap kali berinteraksi dengan anak.

Anda juga boleh berbuat demikian setengah jam setelah anak sudah masuk tidur dan nyenyak tidurnya. Usapkan dengan lembut pada ubun-ubun kepalanya, cium dan bacakan selawat serta sebutkan harapan anda kepadanya.

Anak-anak hidup dalam dunia yang tiada peraturan. Ibu bapa yang membuat peraturan, disiplin dan galakan kepada anak.

- Periksa siapa yang biasa ditemui anak-anak anda setiap hari. Sekiranya anda menghantarnya ke rumah pengasuh, periksa setiap individu dalam rumah itu (pengasuh, ahli keluarga pengasuh dan kanak-kanak lain yang diasuh).

Adakah terdapat mereka yang membawa unsur negatif? Jika ada, sebolehnya usahakan untuk mencari tempat pengasuhan yang lain kerana perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Biar bersusah hari ini untuk mencari pengasuh yang baik daripada kita menangis di kemudian hari kerana anak tidak mahu menjadi baik.

- Apabila kita memarahi anak pada usia ini dengan nada menengking, menjerit, memaki, mengejek, merotan, mencubit, menjentik dan seumpamanya, hati anak yang asalnya lembut akan menjadi semakin keras.

Dia akan menunjukkan pelbagai cara pemberontakan kerana kesakitan yang dialami di dalam hati dan secara fizikal. Semakin kerap ibu bapa memarahi mereka, maka semakin kuat pemberontakan mereka.

Anak-anak pada usia ini tidak 'makan' dengan cara seperti ini. Ia mungkin hanya berkesan untuk beberapa ketika sahaja. Tetapi cara ini tidak berkesan untuk mendidik sifat baik yang berpanjangan di dalam diri mereka.

Untuk anak-anak yang nakal, jika mereka melakukan kesalahan, dekati anak serta dakap, peluk, cium, sayang dan dudukkan anak di atas pangkuan, berilah nasihat secara hikmah.

Ceritakan pada mereka apa yang mereka buat itu salah dan apa yang mereka boleh lakukan untuk membetulkan kesilapan tadi.

17 Januari 2011

Rasulullah...Kekasih Allah


CONTOHI RASULULLAH JAGA KESIHATAN

Nabi Muhammad SAW hanya pernah sakit boleh dibilang dengan jari. Yang lainnya, Nabi sentiasa dalam keadaan sihat walaupun menggalas tugas yang teramat berat dan mencabar. Berikut adalah beberapa cara hidup sihat yang Baginda amalkan:

1. Selalu bangun sebelum Subuh
Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardhu, solat Subuh secara berjemaah. Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala , kesegaran udara Subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.

2. Aktif menjaga kebersihan
Rasulullah SAW sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat Baginda akan mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi. "Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang-orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan memakai harum-haruman".(HR Muslim)

3. Tidak pernah makan berlebihan
Sabda Rasulullah SAW: "Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan),"(Muttafaq Alaih).
Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara. sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan. Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada bulan Ramadhan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.

4. Gemar berjalan kaki
Rasulullah SAW berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Dengan berjalan kaki peluh akan mengalir, roma terbuka dan peredaran darah akan berjalan lancar. Ini penting untuk mencegah penyakit jantung.
berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.

5. Tidak pemarah
Nasihat Rasulullah SAW:"Jangan marah" diulangi sampai 3 kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.
Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk , maka perlu berbaring.
Kemudian baca ta'awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat 2 rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilangkan gundah di hati.

6. Optimis dan tidak putus asa
Sikap optimis akan memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqomah, bekerja keras serta tawakal kepada ALLAH SWT.

7. Tidak pernah iri hati
Bagi menjaga ketabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat irihati. "Ya ALLAH, bersihkanlah hatiku dari sifat2 mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat2 mahmudah."

8. Pemaaf
Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain akan membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan.
Sekiranya kita marah, maka marah itu akan melekat di hati. Justeru, jadilah seorg yang pemaaf kerana yg pasti badan akan sihat.


Petikan dari slot Tazkirah Remaja bersama Ustaz Zawawi Yusoh

16 Januari 2011

20 Amalah Murah Rezeki

20 AMALAN MURAH REZEKI


1. MENYEMPATKAN DIRI UNTUK BERIBADAH
Allah tidak mensia-siakan pengabdian diri hamba-Nya seperti firman-Nya dalam hadis Qudsi "Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dgn kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu" (hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah)

2. MEMPERBANYAK ISTIGHFAR
Istighfar ialah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di hadapan Allah untuk membersihkan diri sendiri. Apabila hati bersih, maka Allah akan jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu berkenan untuk melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Rasulullah bersabda, "sesiapa memperbanyak istighfar, maka Allah akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka," (Riwayat Ahmad, Abu Daud an-Nasa, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas)

3. TINGGALKAN PERBUATAN DOSA
Banyak mana sekali pun istighfar, tidak akan laku di sisi Allah jika diri masih terus berbuat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah, tetapi juga menutup pintu rezeki, Rasulullah bersabda "... dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

4. SENTIASA INGAT ALLAH
Banyak mengingati Allah, akan membuatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Rezeki bentuk ini, hanya Allah berikan kepada orang beriman. Allah berfirman, "(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingatiAllah hati menjadi tenteram." (Surah Ar-Ra'd:28)

5. BERBAKTI DAN MENDOAKAN IBU BAPA
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda juga bersabda, "sesiapa yang berbakti kpd ibu bapanya, maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya." (Hadis Riwayat Abu Ya'ala at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim) Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki seperti sabda Rasulullah, "Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya, nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya." (Hadis Riwayat al-Hakim & ad-Dailami

6.BERBUAT BAIK DAN MENOLONG ORANG YANG LEMAH
Allah akan melapangkan rezeki kepada orang yang berbuat baik kepada orang yang lemah, termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Rasulullah bersabda, "Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah dikalangan kamu." (Hadis Riwayat Bukhari)

7. MENUNAIKAN HAJAT ORANG LAIN
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah melapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Rasullulah, "Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya... "(Hadis Riwayat Muslim)

8. BANYAK BERSELAWAT
Ada hadis yang menganjurkan kita membanyakkan selawat ke atas Nabi, jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan,kesedihan dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.

9. BANYAK MEMBUAT KEBAJIKAN
Ibnu Abbas berkata, "Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati,kemurahan rezeki,kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa,menggelapkan hati,melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.

10. BERPAGI-PAGI
Berpagi-pagi bermaksud memulakan sesuatu kerja atau aktiviti pada awal hari, sebaik-baik selepas menunaikan solat subuh. Tentunya umat tidak digalakkan untuk bangun tidur lewat dan menangguhkan kerja. Menurut Rasulullah, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat subuh berjemaah) ialah amalan yang berkat.

11. MENJALIN SILATURAHIM
Rasulullah bersabda, "Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." (Hadis Riwayat Bukhari)

12. BIASAKAN DIRI DALAM KEADAAN KEKAL BERWUDUK
Suatu kisah menceritakan mengenai seorang arab Badwi yang datang menemui Rasulullah dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki. Baginda bersabda, "Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (daripada hadas) nescaya allah akan memurahkan rezeki." (Hadis diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. BERSEDEKAH
Sedekah mengundang rahmat allah dan menjadi sebab Allah membuka pintu rezeki. Rasulullah pernah memberitahu Zubair bin al-Awwam; "Hai Zubir, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah Azzawajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain nescaya allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya. " (hadis Riwayat ad-Daruquthni dari Anas)

14. MEMBIASAKAN DIRI DENGAN SOLAT MALAM (TAHAJUD)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah

15. MEMBIASAKAN DIRI DENGAN SOLAT DHUHA.
Solat Dhuha dilaksanakan sewaktu kita sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), ketika kita baru masuk bekerja dan ketika itu juga kita kalut dengan segala macam urusan. Namun andai kita ambil beberapa minit untuk melunaskan solat Dhuha, amalan itu Insya-allah akan mengganjarkan pahala kerana ia [punya rahsia tersendiri. Firman allah dalam hadis qudsi: "Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas menggerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (Solat Dhuha) nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya. " (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. BERSYUKUR KEPADA ALLAH
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat daripada allah. Lawan syukur ialah kufur nikmat. Allah berfirman, "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Surah Ibrahim;7) Allah berfirman lagi yang bermaksud, "... dan kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (surah 'Ali Imran:145)

17. MENGAMALKAN ZIKIR DAN BACAAN AYAT AL-QURAN TERTENTU
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau Asmaulhusna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, juga mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, surah at-Taubah, ayat 128-129, jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama allah; al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu' misalnya dibaca, "Ya allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa; "Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya'alim. " ada juga hadis menyebut sesiapa yang mengamalkan baca surah Al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akanditimpa kepapaan. Namun begitu, harus juga diingatkan bahawa kita tidak boleh sekadar beramal dengan ayat-ayat ini tetapi meninggalkan solat atau langsung tiada usaha keras untuk berjaya. Hal ini kerana tiada kejayaan selain usaha keras.

18. BERDOA
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-quran, allah menyuruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. BERIKHTIAR SEHABISNYA
Sudah jadi sunatullah, sesiapa berusaha, dia yang akan mendapat. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah memberikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tetapi agama hanya Allah berikan kepada orang dicintai-Nya saja. (Hadis Riwayat ahmad, Ibnu abi Syaibah dan al-Hakim). Bagi orang yang beriman, dia perlu mencari sebab yang boleh membawa kpd murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak hati tenang bacalah al-Quran, hendak dapat anak yang baik didiklah sejak di dalam rahim lagi, hendak sihat jagalah pemakanan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri mesti berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat jauhilah yang haram.

20. BERTAWAKAL
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman allah, "sesiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya). "(surah At-Thalaq:3) Rasulullah bersabda "Andainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang". (Riwayat ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...